TAKRIF BANGSA MELAYU
Menurut Abdul Rahim Kajai,
bangsa Melayu adalah penduduk asal gugusan kepulauan Melayu atau alam
Melayu seperti di pulau Jawa, Bugis, Madura, Bawean, Minangkabau dan
juga Banjar. Orang Asli seperti suku kaum Semang, Jakun dan Pangan
termasuk dalam definisi Melayu kerana mereka juga adalah penduduk asli
di Semenanjung.
Sehubungan
dengan itu, beliau menegaskan bahawa, “jika seseorang itu bangsa
Melayu, dia akan tetap dan kekal sebagai bangsa Melayu, walaupun dia
dilahirkan di Kutub Utara, bertukar kerakyatan, hatta bertukar agama
sekalipun”.
Beliau
menjelaskan lagi “undang-undang keturunan sesuatu bangsa adalah menurut
hukum Allah, rasul, adat manusia dan segala makhluk Allah, iaitu haiwan
dan kayu kayan berdasarkan di sebelah bapa.
Mereka
yang bukan Melayu termasuk lelaki bangsa lain yang berkahwin dengan
perempuan Melayu dan bangsa anak mereka adalah mengikut bangsa sebelah
bapa. Contoh lelaki bukan Melayu seperti India muslim, Cina muslim, Arab
dan lain-lain bangsa selain Melayu.
Gagasan
Abdul Rahim Kajai adalah bersifat tertutup dan ketat. Bukan sebarang
manusia boleh diterima berbangsa Melayu walaupun ia menganut Islam
sekalipun. Gagasan beliau lebih mengutamakan warisan, keturunan,
persamaan dalam sosiobudaya dan geografi.
Sumber: petikan rencana ‘Ruangan Rabu’ – Berita Harian, 8 November 1989 oleh Kamarudin Musa dari Raja Mohd. Yusof Raja Othman.
ABDUL RAHIM KAJAI-BAPA KEWARTAWANAN MELAYU
Nama
penuh beliau ialah Abdul Rahim Haji Salim. Beliau menerima pendidikan
awal sehingga Darjah 5 Sekolah Melayu di Setapak (1905) dan kemudiannya
dihantar ke Mekah untuk belajar agama dan bahasa Arab.
Sejarah hidup Abdul Rahim Kajai
Sekembalinya
dari Mekah pada 1909, beliau berkerja dengan sebuah percetakan kerajaan
di Kuala Lumpur dan kemudian berhijrah ke Singapura dan bertugas di
Malaya Publishing House. Beliau kembali ke Kuala Lumpur dan kemudiannya
bertugas sebagai pelukis pelan dengan Jabatan Ukur.
Apabila
ayahnya meninggal dunia pada 1913, beliau meletakkan jawatannya dan
berhijrah semula ke Mekah untuk menguruskan perniagaan ayahnya dan
menjaga adik perempuannya. Perang Dunia Pertama meletus dan beliau terus
berada di Mekah sehingga tahun 1917.
Sekembalinya
ke tanah air, beliau menunjukkan minatnya dalam bidang kewartawanan.
Beliau ke Mekah sekali lagi tetapi sebagai wartawan dan mewakili akhbar
mingguan EDARAN ZAMAN di bawah pimpinan Mohd. Yunus Abdul Hamid yang
diterbitkan di Pulau Pinang pada tahun 1925. Beliau bertugas selama tiga
tahun dengan akhbar berkenaan dan apabila kembali ke tanah air beliau
berkerja pula dengan akhbar SAUDARA yang dipimpin oleh Syed Sheikh
Al-Hadi.
Beliau
kemudiannya menggunakan nama pena Abdul Rahim Kajai. Kajai adalah nama
sebuah tempat di Sumatera iaitu tempat asal kelahiran ibubapanya.
Pada
5 April 1930, beliau telah dilantik menjadi penolong editor Saudara dan
pada 30 Ogos tahun yang sama dilantik sebagai editor. Pengalamannya di
Pulau Pinang bertambah sebagai editor di mana beliau berjaya melahirkan
tiga jilid HIKAYAT DZUL-RUHAIN.
Pada
17 Disember 1931 sebuah akhbar dwi-mingguan MAJLIS telah diterbitkan
dan beliau telah menjadi editornya yang pertama dan apabila impiannya
untuk menjadikan MAJLIS sebagai penerbitan harian tidak tercapai, beliau
meninggalkan MAJLIS dan menjadi salah seorang editor WARTA MALAYA
sebuah akhbar harian yang dipunyai oleh Syed Husin bin Al-Sagaf. WARTA
MALAYA diterbitkan di Singapura dan beliau menjadi korespondennya di
Kuala Lumpur.
Apabila
Syed Husin menerbitkan dua buah majalah iaitu WARTA AHAD dan WARTA
JENAKA, beliau telah diamanahkan untuk menulis editorial dan cerita,
humor untuk majalah berkenaan. Beliau terpaksa berpindah ke Singapura
sehingga Perang Dunia Kedua meletus dan bertugas dengan akhbar berkenaan
selama empat tahun setengah sebelum dilantik menjadi editor Utusan
Melayu, Utusan Zaman dan majalah bulanan MUSTIKA (kemudiannya ditukar
nama kepda MASTIKA).
Beliau
meninggalkan Singapura pada 20 Disember 1941 dan menerbitkan PERUBAHAN
BAHARU pada Mac 1942. Beliau tidak bertahan lama di situ dan kembali ke
Singapura dan menggerakkan BERITA MALAI yang mula terbit pada 1 Januari
1943.
Sebagai
Bapa Kewartawanan Melayu, beliau menjadi mentor kepada wartawan Melayu
sebelum perang. Apa yang diluahkan oleh anak didik beliau adalah
berkisar tentang permasalahan orang Melayu dan beliau juga merupakan
nasionalis Melayu yang terawal. Beliau menjadi ahli jawatankuasa
Persatuan Melayu Singapura dan juga menjadi tenaga penting penggerak
Persatuan Melayu Selangor dan Persatuan Melayu Pahang.
Nama
beliau akan sentiasa dikenang sebagai wartawan ulung dan perintis
cerita pendek di dalam dunia sastera Melayu. Beliau telah menulis
sebanyak 48 buah cerpen dengan pelbagai tema.
Karya Cerpen:
- Pusaka Kajai, Singapura, Qalam Press Ltd. 1949
- Banyak Udang Banyak Garam, Singapura, Geliga Ltd. 1949
- Lain Padang Lain Belalang, Singapura, Geliga Ltd. 1961
Terjemahan:
- Hikayat Dzul-Ruhain, Singapura, Qalam Press Ltd. 1928
- Cerita Dzul Ruhain, Penang: Jelutong Press, 1930
Sumber asal: sasteramaya.tripod.com dan wikipedia.org
A. SAMAD ISMAIL-TOKOH WARTAWAN,NASIONALIS,BAHASA DAN SASTERA MELAYU
Tan
Sri A. Samad Ismail atau Pak Samad lebih dikenal sebagai tokoh
wartawan, sasterawan dan nasionalis. Walaupun begitu Pak Samad
sebenarnya turut dikenal sebagai pejuang bahasa dan sastera Melayu.
Sejarah ringkas
Allahyarham Pak Samad dilahirkan pada 18 April 1924 di Singapura. Berikut adalah biodata ringkas beliau:-
- Utusan Melayu. 1941 (16 tahun).
- Pengarang, Berita Malai. 1944 (20 tahun).
- Penolong Pengarang, Utusan Melayu. 1946.
- Pengarang Pertama, Berita Harian. 1959.
- Ahli panel Hadiah Karya Sastera. 1971.
- Pengarang Urusan, kumpulan akhbar The New Straits Times (NST). 1974.
- Penasihat Jabatan Pengarang, NST. 1984 – 1988.
- Lain-lain: Pengasas Angkatan Sasterawan 50 (ASAS 50) di Singapura dan Persatuan Penulis Nasional (Pena) di Kuala Lumpur.
Pak
Samad pernah terlibat aktif dalam memberikan pandangan beliau tentang
bahasa Melayu dalam Kogres Bahasa dan Persuratan Melayu di Universiti
Malaya, Singapura sehingga tertubuhnya Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Beliau juga menyokong penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
yang mula dicetuskan pada tahun 1968.
“Mutiara tidak mungkin dapat dikaji tanpa merujuk kepada tiram yang menghasilkan mutiara, serta memahami penyakit tanpa mengetahui bakteria yang menjadi puncanya.” – tegas Pak Samad melalui akhbar The Singapore Standard pada 6 Mei 1953.
Kedudukan Bahasa Melayu
Pak
Samad menyedari peri pentingnya bahasa Melayu dijadikan bahasa ilmu dan
bahasa perpaduan di Malaysia. Sejak awal lagi Pak Samad begitu
mengutamakan bahasa Melayu dan ingin memastikan bahawa bahasa Melayu
dijadikan sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan Malaysia. Pandangan
beliau banyak dilontarkan melalui tulisan dan ceramah beliau di
merata-rata tempat. Beliau telah memanfaatkan sebahagian daripada
kehidupannya untuk memajukan dan memantapkan penggunaan bahasa Melayu
dalam kalangan rakyat.
Dengan
kedudukannya sebagai pengarang akhbar bahasa Melayu, beliau sentiasa
menyemarakkan semangat dalam kalangan penulis, masyarakat dan pembaca
agar mencintai dan memajukan bahasa Melayu ketika bahasa Melayu
dipandang rendah dan akhbar Melayu tidak mendapat tempat dalam kalangan
orang Melayu sendiri.
Beliau
mengkritik keras orang Melayu yang berpendapat bahawa bahasa Melayu
tidak mampu mengungkapkan ilmu sainstifik dan pemikiran moden, maka
bahasa Inggeris digunakan, dan bukannya bahasa Melayu. Golongan ini,
menurut beliau tidak memahami hubungkait antara perkembangan sosial
dengan perkembangan bahasa.
Hujah beliau, “kita perlu yakin bahawa bahasa Melayu dapat mencapai kedudukan mantap dan kekayaan kosa kata seiring dengan kemajuan masyarakat di Malaya”.
Kata beliau lagi, “suatu hari, bahasa Melayu akan menjadi wahana penting untuk memenuhi aspirasi politik, budaya, dan spirirual rakyat”.
Pak
Samad tidak lokek dengan ilmu dan sentiasa berusaha untuk menambah
ilmunya. Minat dan tabiat membaca yang mendalam beliau terpancar melalui
koleksi buku beliau. Sesiapa sahaja yang pernah berkunjung ke rumah
beliau di Petaling Jaya, sudah pasti akan terpesona dengan himpunan buku
beliau yang dimiliki oleh beliau. Kecintaan terhadap buku menyebabkan
beliau memberikan pesanan dan wasiat kepada anak-anak beliau agar
buku-buku beliau dipelihara dan tidak dibawa keluar dari rumah apabila
beliau sudah tiada.
Begitu
juga dengan tabiat membaca. Pada saat-saat beliau tidak lagi begitu
bertenaga untuk bergerak di luar rumah, membaca akhbar merupakan
kewajipan beliau pada setiap hari. Boleh dikatakan hampir semua akhbar
dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris ada di atas katil beliau.
Anugerah
Tokoh Wartawan Negara, melalui tugas dan sumbangan beliau sebagai
pengarang pada zaman premerdeka dan pascamerdeka itu bukan sahaja telah
banyak menentukan corak kewartawanan dunia persuratkhabaran di Malaysia,
tetapi juga membantu memajukan dan mengembangkan bahasa Melayu.
Penulisan Sastera
Beliau
menyedari hakikat bahawa salah satu langkah untuk memajukan bahasa
Melayu adalah melalui penulisan sastera. Allahyarham Pak Samad
menghasilkan 11 buah novel dan empat buku bimbingan penulis dan
wartawan, antara tahun 1966 hingga tahun 1975. Namun, dalam berkarya,
beliau paling profilik pada dekad 1960-an. Antara karya beliau
termasuk:-
- Kail Panjang Sejengkal (1963)
- Patah Sayap Terbang Jua (1966)
- Mengasah Bakat (1966)
- Kursus Wartawan (1966)
- Tembok Tidak Tinggi (1967)
- Orang Jauh (1967)
- Bimbingan Penulis (1967)
- Menduga Lautan Dalam (1968)
- Menimba Yang Jernih (1968)
- Detik-detik Cemas (1969)
- Orang Lama (1969)
- Hussein Zet (1970)
- Sutinah (1975)
- Memoir A. Samad Ismail di Singapura (1993)
- Hud (1995)
Antara antologi cerpen beliau termasuklah:-
- Mekar dan Segar (1959)
- Karangan Bunga Dari Selatan (1963)
Antara cerpen beliau pula termasuklah:-
- Temasya Tinta (1967)
- Mastura (1967)
Pada
tahun 2005 pula, DBP telah menghimpunkan 20 buah cerpen beliau dalam
antologi Edisi Pagi yang pernah disiarkan dalam pelbagai media seperti
Semangat Asia, Mastika, Berita Minggu, Fajar Asia, Mastura, Temasha
Tinta, Dewan Sastera dan Dewan Budaya. Cerpen beliau yang pertama adalah
pada tahun 1944, dan cerpen beliau yang terakhir adalah pada tahun
1991.
Pemergian
beliau pada usia 84 tahun pada 4 September 2008 meninggalkan legasi
yang bukan kecil kepada dunia kewartawanan, kesusteraan dan kebahasaan.
“Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meniggalkan nama.”
Sumbangan
beliau dan jasa Allahyarham Pak Samad yang amat besar dalam dunia
kebahasaan, kesusteraan, penulisan dan kewartawanan merupakan khazanan
yang tidak ternilai kepada bangsa Melayu dan negara Malaysia.
Bahasa Melayu atau Bahasa Malaysia?
Bahasa ini dipanggil dengan pelbagai nama, namun nama yang paling popular ialah "Bahasa Melayu" dan "Bahasa Malaysia". Namun begitu, di Malaysia, kekeliruan telah muncul dalam kalangan rakyat mengenai nama apakah yang patut digunakan sebagai nama rasmi.Ada pihak yang memikirkan "Pada era kemerdekaan Malaysia, Tunku Abdul Rahman sebagai Perdana Menteri pertamanya memperkenalkan istilah "Bahasa Malaysia" sebagai bahasa kebangsaan Malaysia. Istilah ini kemudiannya diguna pakai secara meluas." Sebenarnya istilah Bahasa Malaysia itu tidak disumbangkan oleh YAB Tunku Abdul Rahman, tetapi timbul secara spontan selepas Mei 13, 1969. Ini terbukti dalam liputan akhbar pada masa tersebut. Pada masa itu wujud semacam persetujuan ramai terhadap istilah Bahasa Malaysia. Namun, Perlembagaan Malaysia tidak berubah.
Pada tahun 1986, istilah "Bahasa Malaysia" ditukar kepada "Bahasa Melayu". Menurut Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan Malaysia, "bahasa kebangsaan [Malaysia] ialah bahasa Melayu".[3]
Namun begitu, Pada 4 Jun 2007, Kabinet membuat keputusan untuk menukarkan penggunaan "Bahasa Melayu" kepada "Bahasa Malaysia". Kabinet mengarahkan supaya semua kementerian, universiti dan pusat pengajian tinggi supaya memaklumkan jabatan serta agensi berkaitan untuk menggunakan istilah "Bahasa Malaysia" dalam surat-menyurat, notis dan dokumen. Rasionalnya ialah untuk menanam semangat perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum.[4][5][6] Pada 5 November 2007, Menteri Penerangan Malaysia, Datuk Seri Zainuddin Maidin, menegaskan lagi bahawa penggunaan istilah baru "Bahasa Malaysia" adalah muktamad.[7]